Tentang Kami

Rumah Nurul Iman akan memastikan setiap kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mendapat kasih sayang dan pemerhatian yang sewajarnya bagi memastikan kanak-kanak tersebut sentiasa merasakan diberi perhatian dan disayangPertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman Negeri Perak (Reg. No.3092-11-PRK) atau Rumah Nurul Iman adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengedalikan Pusat Jagaan Anak Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman (No.Pend. JKM A/P JB KK 041/2017).

Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman Negeri Perak dengan aktif menjalankan aktiviti memberi perlindungan, pengasuhan dan Pendidikan kepada anak anak yatim dan miskin secara percuma. Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman Negeri Perak ditadbir oleh satu jemaah jawatankuasa yang berkuasa menentukan perjalanan pertubuhan dan urus tadbir dan hal ehwal kewangan Pusat Jagaan Anak Anak Yatim Dan Miskin Nurul Iman. Sesuai dengan penubuhannya Rumah Nurul Iman sedia membantu kanak-kanak yatim , miskin dan terabai dari segi memberi perlindungan, pengasuhan dan pendidikan.

Rumah Nurul Iman akan membantu semua kanak-kanak yatim dan miskin yang layak tidak mengira latarbelakang bangsa, pendidikan atau displin kanak-kanak tersebut sebelum anak-anak berkenaan diambil. Rumah Nurul Iman hanya akan menerima anak-anak yang berumur bawah 12 tahun kecuali keluarga berkenaan mempunyai abang atau kakak yang berumur lebih 12 tahun tetapi masih dibawah 18 tahun, maka semua mereka akan diterima masuk.

Rumah Nurul Iman menegah dan tidak mengamalkan kutipan derma apa juga kegiatan yang berbentuk kutipan derma atau penjualan barangan melibatkan kanak-kanak yang berada di bawah Pusat Jagaan. Rumah Nurul Iman akan memberi pendidikan akademik dan Pendidikan agama yang sebaiknya sehingga mendapat sekurang-kurangnya diploma dan akan memantau anak-anak ini sehingga berumur 21 tahun.


Sejarah Penubuhan

Rumah Nurul Iman diasaskan oleh Encik Khairul Anuar Bin Mohmad Razi (Bekas Yang-Dipertua). Ditubuhkan dengan harapan dapat membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik seperti anak yatim, miskin, terabai dan teraniaya, dengan memberi tempat tinggal dan peluang mendapatkan pendidikan yang sempurna.

Pada peringkat awal penubuhannya Rumah Nurul Iman ini dikendalikan oleh suatu jawatan kuasa . Jawatankuasa ini telah melantik En. Khairul Anuar Bin Mohmad Razi sebagai Pengurus/Penyelia asrama tersebut. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab dalam semua urusan pengendalian asrama tersebut kecuali dalam hal-hal yang berkaitan aset dan kewangan. Atas sebab-sebab tertentu pada tahun 2004 operasi telah berpindah ke Jalan Intan, Kampung Dato Ahmad Said.

Pada penghujung tahun 2005 sekali lagi anak-anak ini dibawa berpindah, kali ini atas sebab kegagalan Yayasan Nurul Iman membiaya kos operasi asrama dan permasalahan dengan tuan rumah yang disewa. Akibat terlalu kerap menghadapi masalah, maka En. Khairul Anuar telah tekad mengambil alih sepenuhnya operasi Asrama Nurul Iman dari Yayasan Nurul Iman serta Jawatankuasanya.

Penempatan baru ini terletak di Plot 359, Lorong Dato, Manjoi, Ipoh , Perak. Penempatan hanya mempunyai rumah sewa dua pintu yang disewa dengan kadar RM 200.00 sebulan. Dengan pendapatan peribadi yang tidak seberapa, En. Khairul Anuar telah berusaha keras untuk mengoperasikan penempatan tersebut dengan bantuan penduduk sekitar serta ADUN Manjoi ketika itu iaitu YB Dato’ Haji Nazri. Setelah besusah payah berusaha untuk membela nasib anak-anak yatim dan miskin ini secara bersendirian termasuk memasak dan segalanya maka pada 9hb Oktober 2006 En. Khairul Anuar telah mendaftarkan dengan rasminya Pusat Jagaan Anak Anak Yatim Dan Miskin Nurul Iman yang dimiliki secara tunggal. Pada 12hb Oktober pula En. Khairul Anuar telah membuat akuan bersumpah bagi mengesahkan Pusat Jagaan Anak Anak Yatim Dan Miskin Nurul Iman menjalankan aktiviti secara percuma.

Bagi memperluaskan pembelaan anak-anak yatim dan miskin, Pada bulan Jun 2010 En. Khairul Anuar telah membuka sebuah lagi Pusat Jagaan (Cawangan) di Kampung Pinang, Kamunting, Taiping yang menempatkan kanak-kanak lelaki sahaja tetapi telah ditutup operasi pada 1hb Semtember 2016 kerana tidak mendapat sokongan.


Pengurusan

Rumah Nurul Iman diuruskan secara profesional oleh empat orang pegawai dan enam kakitangan sokongan.

Pusat Jagaan Anak Anak Yatim Dan Miskin Nurul Iman tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap. Buat masa ini lebih kurang 20% kos operasi adalah dari sumber Pengasas pusat itu sendiri manakala selebihnya adalah bantuan dari orang ramai dan daripada persatuan atau pertubuhan lain. Sejumlah Ringgit Malaysia Empat Belas Ribu Diperlukan pada setiap bulan untuk membiayai kos operasi Pusat Jagaan Anak Anak Yatim Dan Miskin Nurul Iman. Jumlah tersebut termasuk sewa tapak dan bangunan, makanan dan pendidikan.